Mengikut perjanjian ‘Feeder Club’ yang telah dipersetujui di antara Johor Darul Ta’zim dan Football Malaysia LLP pada 19 Ogos 2016, pasukan Johor Darul Ta’zim perlu mematuhi beberapa peraturan penting yang berkuatkuasa pada musim 2017 dan peraturan selebihnya pada musim 2018. Pihak Johor Darul Ta’zim telah mengambil masa lebih kurang 8 bulan untuk mendapatkan kelulusan ‘Feeder Club’ ini, yang merupakan satu lagi langkah yang positif dari pasukan Johor Darul Ta’zim ke arah perlesenan kelab yang akan berkuatkuasa pada musim 2018.
 
Menerusi perjanjian yang berkuatkuasa pada musim 2017 ini, pasukan Johor Darul Ta’zim dan Johor Darul Ta’zim II mempunyai kelayakan untuk membuat penukaran 4 orang pemain di luar ‘Transfer Window’.
 
Terdapat 3 lagi peraturan lain di dalam Perjanjian ‘Feeder Club’ yang berkuatkuasa pada musim 2017 ini di mana pasukan Johor Darul Ta’zim II tidak boleh bertanding dalam divisyen liga yang sama dengan pasukan Johor Darul Ta’zim. Ini bermakna, pasukan Johor Darul Ta’zim II tidak boleh mencapai promosi dari 100PLUS Liga Premier ke Liga Super walaupun menjadi juara atau naib juara. Seterusnya, jika pasukan Johor Darul Ta’zim mengalami relegasi dari Liga Super ke 100PLUS Liga Premier, maka secara automatik pasukan Johor Darul Ta’zim II akan diturunkan ke Liga FAM.
 
Selain daripada iu, pasukan Johor Darul Ta’zim II harus mempunyai sekurang-kurangnya 12 orang pemain bawah 23 tahun dan jumlah tersebut perlu dikekalkan sepanjang musim. Jumlah pemain import yang dibenarkan adalah sama dengan jumlah yang telah ditetapkan oleh Unit Pertandingan FMLLP.
 
Dua peraturan lain membabitkan Perjanjian ’Feeder Club’ akan berkuatkuasa pada musim 2018 dimana pasukan Johor Darul Ta’zim harus mempunyai sekurang-kurangnya 4 orang pemain bawah 23 tahun yang bermain dalam kesebelasan utama pada setiap perlawanan. Pasukan Johor Darul Ta’zim II pula tidak layak bertanding dimana-mana pertandingan yang melibatkan pasukan Johor Darul Ta’zim termasuk Piala FA, Piala Malaysia atau pertandingan yang lain.
 
Pada 6 Februari 2017 lepas, pihak FMLLP telah menerima permohonan dari pasukan Johor Darul Ta’zim untuk membuat satu perpindahan di antara pasukan Johor Darul Ta’zim dan Johor Darul Ta’zim II yang termaktub di bawah peraturan ‘Feeder Club’. Ini melibatkan perpindahan pemain Johor Darul Ta’zim Jeronimo Barrales (FAM0000784-M) dengan Gabriel Guerra (FAM0001016-M) dari Johor Darul Ta’zim II. Permintaan ini telah diteliti dan telah diluluskan pada hari ini dimana perpindahan pemain ini berkuatkuasa untuk perlawanan pada 11 Februari 2017. Dengan ini, pasukan Johor Darul Ta’zim telah menggunakan satu kebolehannya untuk membuat perpindahan bagi pemain import dan 3 perpindahan yang belum digunakan selebihnya hanya untuk pemain tempatan sahaja.
 
Dikeluarkan oleh UNIT MEDIA FOOTBALL MALAYSIA LLP

Leave a Reply

7 + 1 =