PKNS FC 3-0 PERAK

Hasrat Perak untuk meneruskan rentak kecemerlangan dengan menang tiga perlawanan berturut-turut berkubur setelah tumpas 0 – 3 kepada PKNS FC di Stadium Shah Alam. Namun lain pula ceritanya buat PKNS FC apabila mempamerkan aksi cemerlang dengan menang dua perlawanan berturut-turut di laman sendiri dengan menjaringkan lapan gol secara keseluruhan. Gol pertama pasukan tuan rumah hadir pada minit terakhir sebelum tamat separuh masa pertama hasil jaringan Lucas Espindola.

Lucas menambah derita pasukan pelawat dengan jaringan kedua beliau pada minit ke 47 perlawanan sebelum Safee Sali menyumbat gol ketiga sekaligus memastikan PKNS FC memperoleh tiga mata penuh untuk perlawanan minggu ini.

Dengan keputusan ini, PKNS FC berjaya mengumpul enam mata setelah mengharungi empat perlawanan dan naik tiga anak tangga untuk berada di kedudukan ke enam liga.

 

KEDAH 4 – 1 PAHANG

Stadium Darul Aman sekali lagi menjadi saksi kehebatan skuad Lang Merah apabila kali ini berjaya membenam Pahang 4 – 1. Seakan mendapat semangat baru musim ini, Baddrol Bakhtiar membuka tirai jaringan buat Kedah pada minit terakhir sebelum tamat separuh masa pertama. Ini adalah gol ketiga buat pemain sayap itu untuk musim dengan menjaringkan dua gol berturut-turut di laman sendiri.

Ken Ilso Larsen yang sebelum ini dilihat tidak menunjukkan kehebatan sebenar telah menemui sentuhannya setelah berjaya mencetak dua gol buat Kedah iaitu pada minit ke 67 dan 90. Satu lagi gol Kedah dijaringkan oleh Farhan Roslan pada minit ke 75 sebelum Pahang hanya memperoleh gol saguhati yang hadir pada minit-minit terakhir perlawanan hasil jaringan Matheus Alves.

 

PULAU PINANG 0 – 1 SARAWAK

Pulau Pinang mengulangi pencapaian buruk musim lalu iaitu tewas empat perlawanan berturut-turut apabila kali ini kalah kepada Sarawak dengan keputusan 0 – 1 di laman sendiri. Namun apa yang lebih mengecewakan penyokong The Black Panthers ini adalah kegagalan mereka untuk menjaringkan sebarang gol setelah mengharungi empat perlawanan.

Pulau Pinang seakan-akan berpeluang untuk sekurang-kurangnya memperoleh satu mata setelah seri 0 – 0 pada separuh masa pertama sebelum Mark Hartmann berjaya memastikan Sarawak membawa pulang tiga mata penuh apabila menjaringkan gol tunggal pelawat pada minit ke 72.

 

MELAKA 1 – 2 T-TEAM FC

Juara 100PLUS Liga Premier musim lalu Melaka masih gagal memperoleh kemenangan sulung musim ini setelah tewas 1 – 2 di tangan T-Team di laman sendiri. Dua gol T-Team dijaringkan pada awal permainan iaitu pada minit ke 5 dan 15 masing-masing hasil jaringan Mahamadou Samassa dan Farhod Tajdiev.

Jeon Woo-young menjadi penjaring gol tunggal buat Melaka pada minit ke 48 namun Melaka gagal bangkit sebelum tamat perlawanan untuk mengatasi T-Team.

 

JOHOR DARUL TA’ZIM 0 – 0 SELANGOR

Kecemerlangan Johor Darul Ta’zim JDT untuk sekali lagi menjuarai Liga Super musim ini sedikit terencat apabila sekadar seri 0 – 0 dengan Selangor di laman sendiri. Untuk rekod, ini adalah kali pertama JDT gagal menjaringkan sebarang gol pada saingan liga sejak seri 0 – 0 dengan Lions XII di Stadium Jalan Besar pada 18 April untuk saingan liga musim 2015.

 

FELDA UNITED 1 – 2 KELANTAN

Felda United berputih mata setelah tewas 1 – 2 kepada Kelantan di laman sendiri. Indra Putra Mahayuddin meletakkan Kelantan di depan menerusi jaringannya pada minit ke 34. Felda United berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke 45 hasil jaringan Zah Rahan Krangar.

Mohamad Ghaddar muncul wira Kelantan untuk memastikan Kelantan membawa pulang tiga mata penuh apabila menjaringkan gol kemenangan pada minit ke 89.

Leave a Reply

five × four =